Mukaddimah
Blog ini mengandungi himpunan bahan-bahan daripada pelbagai sumber, termasuk buku, dan juga catatan & pendapat saya untuk tatapan semua.
Tujuan utama blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat dengan anda semua. Ilmu yang berguna eloklah dipanjang-panjangkan. Semoga blog ini berinformasi dan bermanfaat kepada semua yang sudi melayarinya. Diharapkan juga blog ini menjadi wadah untuk bertukar pendapat dan pandangan.
Maksud Hadis Qudsi:
Berkata Abu Umamah Al-Bahili r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda: Allah telah berfirman:
"Sebaik-baik persembahan yang dapat diberikan hamba-Ku kepada-Ku ialah menyampaikan nasihat kerana Aku." (Riwayat: Ahmad, Hakim dan Abu Nu'aim)
Hadis Rasulullah saw: "Sampaikan dariku walaupun satu ayat."
Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng.
Hanya Keampunan & Keredhaan Allah SWT yang diharapkan. Semoga ia menjadi amal jariah buat diriku.
Selamat melayari blog ini. Komen dan respons anda dialu-alukan.
"Tanggungjawab Disempurnakan Kualiti Diutamakan"
Tahniah diucapkan kepada penjawat-penjawat awam baru yang sudah sah dalam perkhidmatan (baca: confirmed). Apabila sudah confirmed, maknanya ada anda juga sudah layak untuk mendapat Pemberian Taraf Berpencen (PTB). Mungkin inilah antara sebab ramai orang memilih untuk berkhidmat dengan kerajaan. Pencen boleh dianggap sebagai satu jaminan yang selamat untuk beroleh pendapatan apabila sudah bersara kelak. Keistimewaan ini tidak dapat dikecapi oleh pekerja-pekerja swasta walaupun gaji mereka jauh lebih tinggi.
Apabila sudah dapat surat PTB, anda kini sudah layak untuk mengeluarkan wang KWSP anda. Namun begitu tidak semua wang tersebut anda akan dapat. Wang yang dicarum oleh Kerajaan (caruman majikan) selama tempoh anda bekerja sebelum confirmed, akan dipulangkan semula kepada Kerajaan. Tapi dah tolak pun, still banyak juga kan? Campur dengan masa kerja swasta dulu, masyuk jugak lah.. Hehe.. So apakah pilihan yang kita ada untuk menjaga duit ini? Berikut saya senaraikan 5 perkara yang boleh anda fikir-fikirkan.
Menyimpan di dalam instrumen-instrumen kewangan
Ini merupakan pilihan yang paling selamat tetapi tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Terdapat pelbagai pilihan di pasaran ketika ini. Jika mahu menyimpan, pastikan pulangan daripada simpanan anda sekurang-kurangnya dapat menandingi inflasi yang akan menyusutkan nilai wang anda. Berikut adalah beberapa contoh akaun yang sesuai.
- Akaun Simpanan Mudharabah (2% - 3% setahun)
- Akaun Pelaburan Mudharabah (Fixed Deposit) (3% - 5% setahun)
- Tabung Haji (4% - 7% setahun)
Melabur di dalam unit amanah
Umum mengetahui unit amanah atau amanah saham yang paling popular sekali adalah ASB. Ini kerana pulangan ASB dalam bentuk dividen yang konsisten sekitar 7-8% setahun. Antara kebaikan yang lain ialah, harga pokoknya tidak berubah dan ini menjamin modal pelabur. Tetapi ini juga merupakan kelemahan ASB kerana pelabur tidak dapat meraih keuntungan daripada kenaikan harga pokok. ASB juga tidak mengenakan caj pengurusan tetapi mempunyai had maksimum iaitu RM200k.
Terdapat juga banyak syarikat-syarikat lain yang menawarkan unit amanah ini. Antara syarikat yang terkenal ialah seperti Public Mutual, CIMB Islamic, MAA-KL dan sebagainya. Dana-dana yang ditawarkan bergantung kepada selera risiko anda. Dana-dana ini akan dilaburkan ke dalam beberapa instrumen sesuai dengan profil risiko tersebut. Kelebihan unit amanah jenis ini, ialah anda boleh mendapat keuntungan dari segi dividen (income) dan kenaikan harga pokok (capital gain). Berikut disenaraikan jenis-jenis dana yang boleh anda pilih. Untuk maklumat lanjut sila hubungi perunding unit amanah yang anda kenal.
- Risiko rendah - sebahagian besar dana akan didedahkan kepada pasaran bon/ sukuk dan pasaran kewangan yang mendatangkan pulangan sekitar 3% - 5% setahun
- Risiko sederhana - dana akan dibahagikan secara seimbang kepada pasaran bon dan pasaran saham pulangan sekitar 7%-8% setahun
- Risiko tinggi - sebahagian besar dana akan didedahkan kepada pasaran saham di dalam dan luar negara yang boleh mendatangkan pulangan sekitar 10% - 15% setahun
Antara kelemahan unit amanah dengan syarikat-syarikat lain ini ialah kos pengurusan yang tinggi. Anda akan dikenakan sekitar 5% - 6.5% upfront fee untuk melabur ke dalam unit amanah ini. Terdapat juga kos-kos lain seperti kos untuk menjual semula unit amanah anda dan kos pengurusan tahunan. Sebelum anda memulakan pelaburan, pastikan anda telah mengambil kira kesemua kos-kos ini dan pastikan anda boleh mendapat pulangan yang setimpal setelah ditolak semua kos-kos ini. InsyaAllah jika ada peluang, saya akan terangkan mengenai unit amanah di dalam post yang lain.
Melabur di dalam pasaran saham
Jika anda lebih rajin dan sudi untuk meluangkan masa lebih sedikit untuk menimba ilmu, ini adalah antara pilihan yang terbaik. Ini kerana dengan menguruskan pelaburan anda sendiri di dalam pasaran saham, anda boleh mendapat pulangan yang lebih lumayan. Saham-saham syarikat yang ternama dan berpotensi tinggi boleh mendatangkan pulangan lumayan dari segi dividen dan kenaikan harga pokok.
Apabila kita melabur di dalam saham syarikat, secara tidak langsung kita sebenarnya telah terlibat di dalam perniagaan. Perniagaan yang maju dan berjaya pasti akan membawa keuntungan yang banyak. Sebab itu ilmu adalah sangat penting bagi melabur terus ke dalam pasaran saham. Anda perlu tahu syarikat manakah yang patut anda beli dengan menilai beberapa kriteria-kriteria seperti melihat penyata kewangan syarikat dan prestasi syarikat tersebut sebelum ini. Anda juga perlu tahu bilakah masa yang sesuai untuk membeli saham-saham syarikat tersebut. Dan setelah anda memiliki saham-saham tersebut, anda hanya perlukan masa yang minima setiap minggu untuk monitor saham-saham itu.
Membeli emas dan perak
Emas dan perak sebenarnya adalah duit yang sebenar. Ia bertindak sebagai penyimpan nilai yang paling hebat sepanjang zaman. Namun begitu, sebelum anda membeli emas, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira.
Pertama sekali ialah kos yang berlaku. Jika anda membeli emas pada hari ini, anda tidak boleh terus menjualnya pada hari ini. Ini kerana terdapat perbezaan antara harga jual dan harga beli yang dinamakan spread. Dengan spread inilah peniaga dapat membuat keuntungan. Ada spread yang rendah sekitar 5% - 6% dan ada yang tinggi sehingga 20%. Antara kos lain ialah kos tukang bagi barang kemas. Oleh itu disarankan sekiranya anda ingin membeli emas, pastikan duit tersebut adalah untuk jangka masa panjang. Jika anda mahu gunakan duit itu dalam masa setahun dua lagi, lebih baik cari jalan lain. Kerana dibimbangi tidak sempat untuk cover kos spread dan juga takut harga emas turun.
Di samping itu emas sebenarnya mempunyai risiko yang tinggi, iaitu risiko kecurian kerana anda terpaksa simpan di rumah. Emas juga merupakan aset yang tidak produktif. Dalam erti kata lain tiada pulangan dari segi pendapatan (dividen) yang akan anda perolehi, melainkan hanyalah kenaikan harga pokok. Namun terdapat beberapa kelebihan lain, iaitu anda boleh jual semula emas ini kepada kawan-kawan atau orang lain, berbanding dijual kepada kedai emas atau peniaga emas. Emas dalam bentuk barang kemas juga boleh dipajak jika anda dalam keadaan sesak.
Cara lain yang lebih selamat untuk simpanan emas ialah dengan membuka akaun gold investment dengan syarikat kewangan terkemuka. Namun buat masa ini hanya satu sahaja yang patuh syariah iaitu Kuwait Finance House (KFH) Gold Account-i. Kini anda tidak perlu risau lagi emas fizikal anda dicuri!
Membeli hartanah
Hartanah juga merupakan salah satu bentuk pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan dari segi pendapatan dan kenaikan harga pokok. Apa yang lebih menarik mengenai hartanah ialah, anda tidak perlu menggunakan duit anda sendiri untuk memiliki hartanah tersebut. Anda hanya perlu mengeluarkan 10% sahaja atau kurang daripada harga rumah tersebut. Sebahagian besar yang lain, adalah melalui pembiayaan daripada bank.
Mungkin ada yang mengatakan, kita masih perlu bayar ansuran bulan-bulan kepada bank. Betul.. Tapi sukakah anda jika saya katakan ada orang lain yang sanggup membayar ansuran bulanan tersebut untuk kita? Ya memang ada. Mereka adalah orang yang menyewa rumah kita. Jadi anda kena pastikan sewa bulanan tersebut mampu untuk menanggung ansuran bulanan kita kepada bank. Kalau dapat lebih, lagi baik. Anda akan mendapat aliran tunai daripadanya dan ini menambahkan lagi duit poket anda.
Kesimpulannya anda hanya perlu bayar 10% sahaja daripada harga rumah dan sedikit kos-kos sampingan yang lain. Rumah tersebut akan menjadi milik anda sepenuhnya tanpa anda perlu membayar 90% selebihnya. Di dalam pelaburan hartanah terdapat beberapa tools untuk anda membuat pelaburan. InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan kongsikan di dalam bab yang lain.
Akhir kata daripada saya, uruskanlah wang KWSP anda dengan cara yang betul. Wang yang banyak sekiranya tidak pandai diurus akan merugikan anda sendiri. Ketahuilah bahawa nilai duit kertas akan dimakan oleh inflasi yang membuatkan duit anda semakin mengecil nilainya. Dengan membeli aset seperti di atas, secara tidak langsung anda telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
Wassalam.
PENAFIAN
Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya pihak pembaca blog ini mengalami kerugian disebabkan penggunaan maklumat berikut. Sebarang artikel ini tidak boleh di salin dan dimuat turun sesuka hati tanpa izin penulis blog. Anda boleh email kepada penulis blog untuk keizinan. Segala kandungan didalam laman blog ini adalah untuk kegunaan sendiri dan untuk pelanggan penulis. Penulis tidak akan bertanggungjawab jika sekiranya artikel di dalam blog ini diguna pakai untuk tujuan peribadi atau promosi oleh pihak lain. Penafian ini terpakai bermula 1 September 2012.